Pratulis
Pratulisan merupakan aktviti penting
sebelum murid melangkah ke Tahun Satu. Aktiviti
ini dijalankan terutama di kelas prasekolah atau tadika. Ianya merupakan asas
untuk kemahiran tulisan mekanis. Menulis merupakan satu penghasilan simbol-simbol
grafik yang disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan, ayat dan
lain-lain. Aktiviti pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan
aktiviti-aktiviti menulis sebelum dapat menulis huruf dengan kemas dan teratur.
Latihannya menitikberatkan perkara-perkara berikut iaitu :-
- latihan–latihan pergerakan tangan
- latihan gerakan tangan yang bebas supaya dapat menulis dengan sempurna
- latihan pergerakan mata dan
- latihan koordinasi mata dan tangan.
Latihan-latihan
Pergerakan Tangan
Dalam latihan pergerakan tangan,aktiviti
seperti menggenggam dan membuka tangan beberapa kali secara berulang-ulang,
menggenggam dan menghancurkan atau meronyok sehelai daun atau kertas,
mengenggam dan merasa beg yang berisi kekacang dan memegang benda-benda seperti
pensel dengan cara yang betul. Latihan-latihan
gerak jari dengan memain-mainkan jari, menekan-nekan jari, menggoyangkan
tangan, meramas-ramas jari dan sebagainya., Aktiviti seperti memasang butang
baju, menzip seluar dan serta latihan membuka dan mengikat semula tali kasut
juga merupakan latihan pergerakan tangan . Latihan menggerakkan jari ini supaya
murid-murid bersedia untuk menggunakan jari bagi memegang pensel disamping sebagai
latihan penggunaan otot-otot tapak tangan dengan aktiviti membuat bentuk daripada
plastisin, tanah liat atau tepung yang dibancuh dengan air.
Latihan Pergerakan
Tangan Yang Bebas Untuk Menulis Dengan Sempurna
Aktiviti gerakan tangan secara bebas
yang dilakukan oleh murid ini bertujuan supaya murid dapat menulis dengan selesa
dan sempurna. Selain itu latihan membentuk garisan lurus, latihan membentuk
corak-corak campuran bulatan dan garis lurus boleh dilakukan secara bebas.
Latihan melukis gambar-gambar mengandungi garisan lurus dan bulat juga termasuk
dalam aspek gerakan tangan secara bebas supaya akhirnya murid dapat menulis
dengan lebih sempurna. Aktiviti bagi tangan juga boleh dilakukan melalui aktiviti
melukis bentuk bebas menggunakan jari di udara, di meja, di lantai, di rumput,
di belakang rakan tanpa menggunakan alat tulis seperti membentuk bulatan dan menulis bentuk-bentuk di atas pasir atau
tanah. Aktiviti merasa huruf sebenar dalam bentuk 3D, huruf kertas pasir dan menguntai
manik secara bebas turut membantu murid membentuk huruf dengan mudah akhirnya.
Latihan Pergerakan Mata
Latihan bagi mata seperti menutup
kedua-dua mata murid dengan tangan, membuka mata dan menyebut benda-benda yang
ditunjuk atau dipegang oleh guru. Aktiviti seperti menutup sebelah mata,
melihat dan menyebut benda yang ditunjuk oleh guru dan dibawa dari kiri ke
kanan dan sebaliknya. Aktiviti lain seperti menyebut benda-benda pelbagai saiz
yang dipegang oleh guru. Seterusnya guru boleh menyuruh murid menyebut warna
benda atau menyebut bentuk asas objek.
Latihan Kordinasi Mata
dan Tangan
Aktiviti mengelas benda mengikut
golongan atau kumpulan merupakan latihan bagi kordinasi mata dan tangan.
Aktiviti –aktiviti lain yang boleh dilaksanakan seperti menyusun , mencantum
dan mewarna gambar yang diselaras mengikut urutan. Aktiviti lain dalam aktiviti
kordinasi mata dan tangan ialah mencantum titik atau sempang untuk membentuk
huruf, memadankan gambar bagi benda-benda yang serupa, mencari sejumlah benda
yang tersembunyi dalam sebuah lukisan dan juga aktiviti membuat garisan lurus
dari atas ke bawah dan sebaliknya. Latihan mewarna dari kiri ke kanan dan
sebaliknya juga dapat melatih murid bagi kordinasi mata dan tangan.
Setelah murid-murid menjalankan
latihan pramenulis, faham dan tahu memegang pensel serta boleh duduk dengan
cara betul, mereka boleh dilatih membentuk lambang-lambang tulisan. Bermula di
kertas kosong tanpa garisan, diikuti latihan membentuk huruf pada garisan, di
mana peringkat ini ialah peringkat menulis mekanis.
No comments:
Post a Comment